ARSENAL BELASAH BLACKBURN
LONDON - Arsenal membelasah Blackburn Rovers 6-2 pada pertembungan Liga Perdana England setelah dua kali ketinggalan pada babak pertama dalam perlawanan sengit di Stadium Emirates, semalam.
Walaupun jaringan Steven Nzonzi dan David Dunn memberikan kejutan ke atas tuan rumah pada perlawanan di Stadium Emirates, Gunners membalas menerusi Thomas Vermaelen, Robin van Persie dan Andrei Arshavin sebelum rehat.
Cesc Fabregas, Theo Walcott dan Nicklas Bendtner menambah tiga lagi gol pada babak berikutnya untuk kemenangan kelima Arsenal daripada tujuh perlawanan.
Aksi semalam merupakan kemunculan pertama Walcott musim ini.
Kemenangan itu merupakan hadiah terbaik buat bos Gunners, Arsene Wenger yang menjadi pengurus Arsenal paling lama memberikan khidmat yang genap 13 tahun yang bermula pada October 1996.
Bekas pemain Arsenal di sebalik kejayaan Wenger, Thierry Henry turut menyaksikan perlawanan tersebut sebagai tetamu kehormat.
Kemenangan itu memberikan Arsenal mata ke-15 dengan kurang satu perlawanan manakala Blackburn kekal di kelompok bawah pertengahan liga.
"Saya gembira dengan prestasi pasukan. Kami sentiasa mampu melakukan yang lebih baik, ia adalah satu daripada perlawanan untuk kami memburu kejuaraan,'' kata Fabregas.
Pasukan tuan rumah dikejutkan menerusi jaringan seawal minit keempat apabila tandukan Nzonzi meletakkan Rovers di depan, namun pertahanan tengah Vermaelen menyamakan kedudukan untuk Arsenal menerusi penyudah kemas.
Rembatan Dunn yang terkena William Gallas ketika melakukan serangan balas kembali meletakan Rovers di depan.
Namun, kali ini kedudukan mendahului itu hanya bertahan dua minit apabila sepakan van Persie gagal diselamatkan oleh Paul Robinson.
Pemain Rusia, Arshavin meletakan Arsenal mendahului 3-2 sebelum rehat dan Gunners 'mengganas' di babak kedua untuk mengecewakan Rovers.
Fabregas cemerlang menerusi gerakan individu untuk gol keempat hasil sepakan lambung kaki kiri dari dalam kawasan penalti.
Pemain gantian, Walcott tidak ketinggalan mencatat selaku penjaring untuk gol kelima selepas merembat deras kaki kanan pada minit ke-75.
Bendtner melengkapkan kemenangan besar Arsenal menerusi rembatan padu dari jarak 18 meter ketika perlawanan tinggal seminit. - Agensi
0 comments:
Post a Comment