Sunday, December 27, 2009

Wenger optimis peluang Gunners


LONDON - Selepas 13 tahun bersama Arsenal, Arsene Wenger percaya pasukannya kini berada pada kedudukan terbaik untuk merampas kembali kejuaraan Liga Perdana England, meskipun sudah empat tahun gagal menjulang trofi.


Arsenal tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan sejak muncul juara Piala FA 2005, menumpaskan Manchester United dalam perlawanan akhir. Tempoh tersebut dilihat terlalu panjang buat pengurus dari Perancis itu, yang tiba di Arsenal pada 1996. "Empat tahun terakhir adalah tempoh paling mencabar.


"Ia bukan saja tentang tidak memenangi trofi. Cabaran sebenar adalah apabila berpindah ke stadium baru dan kami kena pastikan pasukan ini terus berada di atas.

"Pada saya, empat tahun terakhir merupakan tempoh terbaik buat kelab, malangnya dalam tempoh itu juga kami tidak memenangi sebarang trofi.

"Bagaimanapun orang lupa tentang betapa konsistennya pasukan ini, biarpun kami berdepan tempoh yang sukar tetapi saya puas bekerja pada saat-saat itu.


"Berpindah ke stadium baru, dengan sumber yang serba kekurangan tetapi orang ramai tetap mahukan keputusan terbaik daripada anda. Orang patut menghargai betapa kami masih mampu membuat wang pada setiap tahun, tanpa menjatuhkan standard pasukan dan terus kekal bersaing dalam Liga Juara-Juara,'' ujar Wenger.


Sementara itu, Wenger masih menantikan keputusan kecergasan ketua pasukannya, Cesc Fabregas sehari sebelum pasukan itu berkunjung ke Aston Villa, hari ini.Fabregas terlepas perlawanan ketika Arsenal menumpaskan Hull City 3-0 minggu lalu kerana kecederaan pelipat lutut, tetapi dia mungkin sempat sembuh untuk pertemuan dengan Villa.


Tomas Rosicky (pelipat lutut), Nicklas Bendtner (pangkal paha) dan Robin van Persie (buku lali) terpaksa diketepikan bersama tonggak pertahanan, Gael Clichy (kecederaan belakang) dan Johan Djourou, yang cedera lutut. Bagaimanapun Armand Traore dijangka sedia untuk kembali mengisi posisi pertahanan kiri.


Selepas mencatat kemenangan memberangsangkan ke atas Liverpool dan Hull dalam perlawanan terakhir, keyakinan pemain Gunners dilihat semakin pulih sejak dikejutkan dengan kekalahan 3-0 kepada Chelsea.


Kehadiran Villa di Stadium Emirates hari ini bakal menjadi ujian sebenar buat Arsenal, apatah lagi lawan mereka kini berada pada prestasi terbaik, tidak pernah tewas dalam lapan perlawanan berturut-turut.Malah, Villa juga menjadi antara calon utama untuk memburu tiket Liga Juara-Juara Eropah musim depan dengan menghuni tangga keempat liga.


Villa sudahpun mengalahkan United, Liverpool dan Chelsea musim ini, jika berjaya menumpaskan anak-anak buah Wenger hari ini, ia akan melengkapkan kemenangan ke atas pasukan big four.


The Big Four

0 comments: