Friday, August 7, 2009

Raja Pop disaman lagi

LOS ANGELES 6 Ogos - Sebuah akhbar Korea Selatan menuntut pembayaran ganti rugi hampir AS$7.9 juta (RM27.6 juta) dari estet milik Michael Jackson kerana pembatalan konsert pada 1990.

Akhbar The Segye Times telah memfailkan rekod mahkamah di Mahkamah Tinggi Los Angeles pada Isnin lalu, untuk menuntut keutamaan perintah bayaran AS$4 juta (RM14 juta) ke atas Katherine dan Joe Jackson serta Jermaine pada 1994 kerana pembatalan konsert.

Nilai tuntutan itu meningkat hampir dua kali ganda kerana kadar faedah telah terakru.

Akhbar itu memfailkan saman terhadap mereka pada 1990 di Contra Costa atas dakwaan anggota keluarga Jackson tersebut menerima bayaran sebanyak AS$5.5 juta (RM19.3 juta) untuk beberapa siri konsert. Konsert itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan dan akhbar itu memfailkan saman dan Michael Jackson turut dinamakan sebagai defendan.

Bintang legenda pop itu telah menyelesaikan tuntutan ke atas beliau dalam penyelesaian di luar mahkamah pada 1992. Tidak dapat dipastikan sama ada estet miliknya boleh digunakan dalam tuntutan tersebut.

Rekod yang difailkan di Los Angeles menunjukkan seorang hakim telah membicarakan kes itu pada Februari 1992. Tiada satupun anggota keluarga Jackson yang tersenarai dalam tuntutan menghadiri perbicaraan dan keputusan terhadap Katherine, Joe dan Jermaine dimasukkan.

Keluarga Jackson kemudian meminta agar perbicaraan baru dibuat namun ia ditolak.

Katherine adalah satu-satunya yang tersenarai sebagai penerima faedah estet anak lelakinya itu. Dia yang kini berusia 79 tahun dan tiga cucunya dinamakan sebagai penerima estet Jackson dalam bentuk dana amanah peribadi.

Tuntutan itu juga tersenarai dalam petisyen muflis yang difailkan Katherine dan Joe di Los Angeles. Ketika itu, pasangan tersebut mempunyai hutang sebanyak AS$24 juta (RM84 juta) termasuk tuntutan mahkamah, pinjaman kenderaan dan hutang kad kredit. - AP

sumber dari utusan Malaysia

0 comments: