Tuesday, August 11, 2009

Bekalan vaksin H1N1 di tambah

Bekalan vaksin H1N1 ditambah

Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my


PELAJAR Sekolah Menengah Presint 9 (2), Putrajaya memakai topeng penutup muka ketika mengambil peperiksaan, semalam.

Peruntukan segera RM20j beli Tamiflu, Relenza



KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan peruntukan tambahan RM20 juta bagi menambah stok bekalan antiviral Tamiflu dan Relenza sebagai langkah segera bagi mengawal penularan wabak Influenza A (H1N1) yang sehingga semalam mencatat 32 kematian dan 1,983 kes di seluruh negara.


Selain itu, kempen besar-besaran akan dimulakan minggu ini bagi memberi panduan dan menyedarkan orang ramai mengenai bahaya wabak itu.



Dua langkah itu diputuskan dalam perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, semalam.


Najib berkata, stok Tamiflu dan Relenza akan ditambah 10 peratus lagi daripada jumlah penduduk negara menjadikannya 20 peratus supaya lebih ramai rakyat mendapat suntikan antiviral itu.


"Antiviral itu akan dibekalkan secara meluas ke hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Institut Jantung Negara di sini.

Turut hadir, isterinya yang juga Penaung Yayasan IJN, Datin Seri Rosmah Mansor dan Liow.

Perdana Menteri berkata, kempen kesedaran H1N1 pula diadakan kerana proses pendidikan awam paling berkesan untuk mengekang penularan wabak itu.


"Menerusi kempen besar-besaran termasuk menggunakan media massa, rakyat akan diberi panduan mengenai langkah pencegahan wabak itu.



"Sekiranya mereka demam, maka langkah paling baik adalah berehat di rumah sehingga pulih kerana kalau keluar, takut akan menjangkiti orang lain.



"Walaupun mereka berada di rumah, mereka juga dinasihatkan memakai topeng supaya tidak menjangkiti anggota keluarga lain," katanya.


Ditanya sama ada kerajaan bercadang menguatkuasakan sekatan perjalanan, Najib berkata, langkah itu tidak perlu kerana wabak berkenaan sudah melanda hampir semua negara di seluruh dunia.



"Pandemik ini berlaku di seluruh dunia (jadi) tiada makna untuk kita buat sekatan perjalanan," katanya.


sumber dari BERITA HARIAN

0 comments: