Wednesday, January 6, 2010

Facebook: Lebih 75,086 rakyat bantah guna kalimah Allah

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Satu kumpulan yang menggelarkan diri mereka 'Menentang Penggunaan Nama Allah Oleh Golongan Bukan Islam' di laman web sosial Facebook berjaya menarik lebih 75,000 orang untuk menjadi rakan kepada kumpulan berkenaan.

Sejak laman tersebut mula dibuka beberapa hari lalu, jumlah mereka yang menyertainya semakin meningkat setiap hari sehingga jumlahnya melebihi angka 75,000 orang malam ini.

Malah dalam tempoh sejam sahaja, jumlah mereka yang menyertai sebagai rakan laman yang ditubuhkan untuk menyatakan bantahan kepada penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam telah meningkat lebih 1,000 orang.

Ini menjadikan angka mereka yang menjadi rakan laman itu meningkat seramai 75,086 orang setakat 12 tengah malam ini sahaja.

Antara yang turut menjadi rakan kepada laman itu ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Ahli Parlimen Kuala Lipis, Datuk Dr. Shahrom Osman.

Laman tersebut melibatkan tujuh orang pengendali termasuk Tun Faisal Ismail Aziz yang juga Pengerusi Unit Media Baru Pergerakan Pemuda UMNO.

Menurut pengasas laman itu, yang menggelarkan dirinya sebagai Ali Baba Bujang Lapok, mereka menyasarkan seramai satu juta orang rakan.

Malah laman berkenaan kini sedang mengaturkan untuk membuat petisyen bantahan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Justeru di dalam profil kumpulan itu, mereka menawarkan kepada mana-mana rakan laman itu yang mahir dalam menulis petisyen supaya memaklumkan kepada pihak pengendali.

0 comments: