Ulasan Mengenai This Is IT
TANGGAL 25 Jun 2009 pastinya akan menjadi tarikh yang tidak akan dapat dilupakan oleh masyarakat dunia.
Ketika itu, dunia telah dikejutkan dengan kematian Raja Pop Dunia, Michael Jackson yang membuatkan kita semua seperti tidak percaya dia telah pergi.
Legasi seninya terus hidup dan mekar di dalam hati mereka yang mengagumi muzik dan bakat luar biasanya itu yang telah meletakkan dirinya sebagai seorang penghibur terbaik dunia.
Michael yang diketahui cukup menyayangi dan menghargai peminatnya kerana baginya, mereka adalah nadi dan tunjang kepada kejayaannya selama ini.
Maka dengan itu, setiap kali Michael mengadakan konsert, ia akan menjadi sebuah persembahan yang akan dikenang oleh para peminatnya sehingga ke akhir hayat mereka.
Setiap konsert dan persembahan yang dilakukannya akan mendapat sambutan yang cukup hebat dan luar biasa sekali.
Maka tidak hairanlah, peminat Michael sanggup berhujan dan berpanas untuk berbaris semata-mata mahu mendapatkan tiket menyaksikan persembahan penghibur unggul ini.
Biarpun dilanda masalah dan kemelut kewangan serta peribadi yang menyelubungi dirinya, tetapi Michael atau panggilannya, Jacko tetap menjadi pujaan dan terus disayangi oleh peminat setianya.
Pada 5 Mac lalu, Michael telah mengumumkan bahawa dia akan beraksi dalam konsert This Is It yang merangkumi 50 buah persembahan yang berlangsung di The O2 Arena, London.
Ia juga adalah konsert terbesar Michael selepas konsert jelajah dunia HIStory yang tamat pada tahun 1997 dan juga konsert penutup tirainya untuk peminat di London.
"Bila saya berkata demikian, bermakna saya benar-benar maksudkannya," kata Michael dalam sidang media tersebut.
Sudah pasti berita itu mengujakan peminatnya yang tidak mahu melepaskan peluang menonton persembahannya apatah lagi ia hadir selepas lebih sedekad Michael tidak beraksi dalam mana-mana konsert.
Dijadualkan berlangsung pada 19 Julai lalu sehingga Mac 2010, ia dikatakan akan menjadi sebuah siri konsert yang paling hebat dan mampu memukau penonton sekali gus mengembalikan kegemilangan Michael.
Malah, tuan punya badan sendiri begitu gembira dan teruja untuk beraksi dalam konsert ini.
"Saya akan menyanyikan lagu-lagu yang peminat mahukan dan inilah dia yang mereka nantikan," ujarnya dalam nada gembira.
Namun, apakan daya. Takdir menentukan segala-galanya apabila impian Michael itu tidak mampu dilaksanakan kerana dia terlebih dahulu meninggalkan kita semua.
Pasti ramai peminat hampa dan sedih kerana tidak dapat melihat Michael beraksi buat kali terakhir sebelum dia mengundurkan diri dari dunia seni.
Tetapi, kesedihan itu tidak lama apabila filem This Is It yang mula ditayangkan pada 29 Oktober lalu mendapat sambutan yang cukup luar biasa.
Sehingga artikel ini ditulis, kutipan untuk This Is It sudah pun mencecah AS$110 juta (RM363 juta) di seluruh dunia.
Malah, kutipan tiga hari pertama sejak tayangannya pada 29 Oktober lalu mencatatkan kutipan sebanyak AS$23 juta (RM76 juta) di Amerika Syarikat sahaja.
This Is It yang dikategorikan sebagai filem dokumentari itu merupakan rakaman sesi latihan dan persediaan Michael untuk konsert besarnya yang dilakukan di Staples Centre, Los Angeles, Amerika Syarikat.
Pada awalnya, ia hanyalah sekadar rakaman sesi latihan yang biasa yang dirakamkan sendiri oleh Michael dan ia untuk tontonan Michael dan Kenny sahaja.
Tetapi, kemudiannya atas permintaan peminat setia Michael dan promoter konsert This Is It, AEG Live, maka projek untuk menjadikannya ia sebagai sebuah filem akhirnya direalisasikan.
Diarahkan oleh pengarah dan koreografer terkenal, Kenny Ortega, walau bagaimanapun filem tersebut pada awalnya berdepan dengan pelbagai halangan sebelum ia direalisasikan.
AEG Live sendiri berdepan dengan kritikan apabila dikatakan penerbitan filem itu tidak lebih sekadar untuk mengaut keuntungan daripada kematian Michael.
Tidak cukup dengan itu, ada khabar angin yang mengatakan bahawa apa yang dipaparkan dalam filem berkenaan adalah bukan diri Michael yang sebenar dan menggunakan orang lain.
Malah, ahli keluarga terdekat Michael sendiri tidak merestui penghasilan filem berkenaan dan mencari jalan untuk menyekat hasrat beberapa pihak yang mahu menzahirkan filem ini.
Tetapi, pada 10 Ogos lalu, hakim Mahkamah Tinggi Los Angeles, Mitchell Beckloff secara rasmi meluluskan kerjasama antara Sony (pengedar filem) dan AEG Live supaya Sony boleh membeli dan mengedar rakaman itu sebagai filem.
Dalam perjanjian itu, Sony dan AEG Live telah bersetuju bahawa versi filem itu tidak boleh melebihi 2 jam 30 minit dan karya itu perlu mendapatkan klasifikasi.
Selain daripada itu, kontrak itu juga menyatakan bahawa filem itu tidak boleh menunjukkan sebarang sisi negatif Michael.
Semua keputusan itu dipatuhi dan This Is It telah berjaya mempamerkan kehebatan Michael sebagai seorang penghibur yang genius.
Sepanjang hampir dua jam menonton This Is It baru-baru ini, perasaan kagum dan terkesima terus wujud apabila melihat komitmen tinggi yang diberikan Michael untuk konsert ini.
Walaupun usianya sudah mencecah lima dekad, tetapi This Is It membuktikan usia itu bukan satu halangan untuk Micheal memberikan persembahan penuh energetik dan bertenaga.
Biarpun ia hanyalah sesi latihan, tetapi usaha yang diberikan oleh Micheal untuk konsert ini cukup dikagumi.
Bukan sekadar melantunkan vokalnya, tetapi Michael juga bertindak mereka gerak tari bersama barisan penari yang dipilih daripada uji bakat yang diadakan khusus untuk konsert ini.
Maka tidak hairanlah, filem This Is It ini dianggap sungguh istimewa dan khazanah yang cukup berharga buat peminatnya yang akan terus mengenangnya sebagai anak seni yang tiada tandingan.
This Is It juga memberikan gambaran yang cukup jelas bahawa janji Michael untuk menjadikan siri konsert ini sebagai konsert yang paling gah dan berjaya pastinya akan ditunaikan.
Masakan tidak, konsep konsert ini cukup hebat dan mengagumkan.
Tidak cukup dengan itu, permainan visual dan audio juga merupakan tunjang utama kepada perjalanan konsert ini.
Ini semua dapat dilihat menerusi konsep yang ditampilkan untuk lagu-lagu seperti Smooth Criminal, Thriller, Earth Song dan They Don't Care About Us.
Daripada situ, penonton dapat menilai dan membuat kesimpulan bahawa Michael sememangnya seorang karyawan yang cukup bijak untuk mencari kelainan bagi memantapkan konsep persembahannya mengikut peredaran zaman.
Bukan itu sahaja, This Is It juga memperlihatkan kredibiliti Michael yang berkongsi idea dengan pengarah dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam konsertnya itu.
Sekali gus ia membuktikan apa yang sering kali dicanangkan tentang Michael iaitu seorang yang sangat mudah untuk bekerjasama, rendah diri dan tidak lokek ilmu kepada sesiapa sahaja.
Penonton yang mungkin skeptikal dan membayangkan filem ini akan menjadi sebuah filem dokumentari yang lain, usah bimbang kerana penonjolan Michael dan lagu-lagunya merupakan subjek utama dalam filem ini.
Semua itu dapat penonton saksikan sendiri menerusi filem ini yang mengikut perancangan hanya akan ditayangkan selama dua minggu yang berakhir pada 12 November ini.
Mega turut difahamkan This Is It akan terus ditayangkan selagi peminat dan penonton mahu menonton filem yang telah mencipta sejarah sebagai filem konsert paling berjaya sepanjang zaman itu.
Apa yang pasti, This Is It akan menjadi sebuah filem yang terpahat sebagai filem yang terus mengangkat figura unggul ini.
Bagi mereka yang belum menonton filem ini, pastikan anda tidak melepaskan peluang berbuat demikian.
Kerana untuk melihat Michael beraksi di layar lebar akan membuatkan kita terleka dan asyik menikmati ritma serta tariannya tanpa kita sedari dia sebenarnya sudah pergi meninggalkan kita.
0 comments:
Post a Comment