Spiderman kena saman
KUALA LUMPUR 2 Sept. – Spiderman dari Paris, Alain Robert yang berjaya menawan puncak tertinggi Menara Berkembar Petronas dalam percubaan ketiganya semalam, didenda RM2,000 atas kesalahan menceroboh bangunan tersebut.
Robert, 47, dikenakan hukuman itu oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas dia mengaku bersalah melakukan pencerobohan dengan memanjat menara tersebut pada pukul 8.30 pagi, semalam.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap bangunan milik Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) di Menara Dua, KLCC, Jalan Ampang di sini.
Majistret Siti Shakirah Mohtarudin turut memerintahkan lelaki itu atau nama sebenarnya Robert Alain Philippe dihukum penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.
Dia ditahan oleh pengawal keselamatan, P.Bala Sivaceyon di tingkat 88 sebaik sahaja menuruni salah satu puncak menara berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Dakwaan terhadap lelaki itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shashitah Mohamad mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam bela, Wong Kian Kheong yang mewakili Robert merayu agar tertuduh tidak dikenakan hukuman penjara memandangkan dia perlu pulang ke Paris minggu depan untuk mendapatkan rawatan secara berkala di hospital.
Sebaliknya, Kian Kheong memohon anak guamnya yang disahkan oleh kerajaan Perancis sebagai 60 peratus kurang upaya, hanya dikenakan denda RM2,000.
Beliau turut menunjukkan kepada mahkamah tiket penerbangan yang telah dibeli oleh anak guamnya itu.
Menurutnya, Robert melakukan aktiviti itu semata-mata kerana minatnya yang mendalam terhadap aktiviti lasak dan bukan bertujuan meraih sebarang faedah.
Beliau juga meyakinkan mahkamah bahawa Robert telah berjanji untuk tidak memanjat mana-mana bangunan di negara ini lagi tanpa kebenaran.
Robert sebelum ini didakwa pernah memanjat menara setinggi 88 tingkat atau 452 meter itu pada 2005 dan 2007 tanpa sebarang kelengkapan. Namun kedua-dua percubaannya itu terhalang apabila ditahan pihak berkuasa di tingkat 60.
Dia yang bercadang memanjat menara tertinggi di dunia iaitu Burj Dubai di Dubai selepas ini turut menyifatkan aktiviti memanjat adalah keterujaan, kehidupan dan ketagihan baginya.
Ketika ditemui pihak media sejurus selesai membayar denda, Robert mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Malaysia.
0 comments:
Post a Comment